Latar belakang Pengepungan_Castelnuovo

Hayreddin Barbarossa menewaskan armada Liga Suci yang dipimpin oleh Andrea Doria dalam Pertempuran Preveza.

Armada campuran Kristian telah menguasai sebuah kota di kawasan pesisiran, Castelnuovo yang kini terletak di kawasan pesisiran pantai Montenegro. Castelnuovo bukan sahaja merupakan tempat pos kawalan tentera di pantai. Semasa berada di kemuncaknya, Liga Suci berhasrat menjadikan Castelnuovo sebagai titik permulaan untuk melancarkan serangan menembusi wilayah-wilayah Uthmaniyyah. Walau bagaimanapun, selepas Pertempuran Preveza berakhir, momentum mereka mula beralih. Liga Suci telah dibubarkan dengan serta merta manakala Venezia menyerah kepada Uthmaniyyah untuk mencapai perdamaian kedua-dua pihak. Dengan itu tanpa adanya kapal-kapal Venezia, rancangan serangan pasukan Kristian berikutnya tidak dapat disempurnakan.

Sewaktu musim sejuk sesudah kejayaan di Preveza, Sultan Sulaiman al-Qanuni memerintahkan Hayreddin Barbarossa menyiapkan armadanya dan bersiap sedia untuk serangan seterusnya pada musim bunga tahun 1539. Rancangan mereka mudah iaitu melancarkan serangan berbeza ke atas kubu Castelnuovo. Laksamana Barbarossa akan menyekat jalan laut menuju ke Castelnuovo manakala gabenor Uthmaniyyah di Bosnia yang bernama Ulamen akan menyerang dari jalan darat sekali gus menghimpit sasaran mereka dari dua arah.